Saturday, July 9, 2011

Ulasan Filem Aku Masih Dara

Sinopsis Filem

Sebuah filem yang menyentuh isu kerosakkan akhlak di kalangan remaja dan mengupas ragam kehidupan gadis-gadis zaman sekarang yang bebas dewasa tanpa bimbingan ibubapa yang terlalu sibuk mencari wang bagi menyara kehidupan. Aleesya, Sofea dan Hani merupakan tiga rakan rapat yang mempunyai latarbelakang keluarga yang berbeza. Masing-masing juga mempunyai pandangan berbeza tentang Islam, berdasarkan cara mereka dibesarkan oleh ibubapa masing-masing. Kehidupan serba moden menyebabkan mereka leka dengan tuntutan agama lantas terjerumus dengan gaya hidup barat. Pergaulan bebas serta menghalalkan yang haram bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan mereka.

Aleesya mempunyai didikan agama yang asas, boleh mengaji dan tahu sembahyang. Namun, membesar dalam persekitaran yang serba moden dan sosial menyebabkan beliau leka pada tuntutan agama. Sofea pula dibesarkan tanpa didikan agama, Sofea dibesarkan dalam suasana serba kebaratan, Sofea tidak tahu solat dan tak tahu mengaji. Hidupnya penuh dosa dan noda sehingga dia kurang tenang walaupun mempunyai segala-galanya. Hani pula membesar dalam keluarga yang susah. Beliau kurang didikan agama lantaran ibu bapa yang terlalu sibuk mencari sesuap nasi untuk mereka sekeluarga. Hani senantiasa menyalahkan ibu bapanya dan adakala salahkan Tuhan kerana tidak mengubah nasib beliau sekeluarga. Untuk hidup senang, beliau mengambil jalan mudah, menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan dan menjerumus dalam hidup penuh noda, dunia yang mana semuanya ‘halal’.

Hani mendapat bekalan dadah daripada teman lelakinya, Zachery, yang merupakan ketua pengedar dadah di kawasan flat tempat tinggalnya. Perbezaan pandangan mereka tidak menghalang persahabatan mereka bertiga sehingga kemunculan Firdaus, sepupu Aleesya yang warak. Firdaus pentingkan hukum Tuhan dan beliau sedar, sebagai seorang Islam yang berpendidikan, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik saudara Islam yang terlencong. Firdaus yang berasal dari kampung, datang ke Kuala Lumpur untuk mengikuti kursus keusahawanan, dan menumpang di rumah bapa saudaranya yang juga bapa kepada Aleesya. Menyedari Aleesya hilang arah, Firdaus sering menegur tindak tanduk Aleesya, menyebabkan Aleesya amat membenci Firdaus kerana terlalu ‘menjaga tepi kainnya’.

Namun, kehadiran Firdaus mulai mengubah diri Sofea yang mencari ketenangan. Sofea yang sudah puas hidup tanpa agama, menemui ketenangan apabila berkawan dengan Firdaus. Menerusi Firdaus, Sofea belajar tentang Islam dan mulai menyintai agama yang selama ini, sekadar status di kad pengenalannya. Kemesraan antara Firdaus dan Sofea, menyebabkan Sofea mula renggang dari Aleesya dan Hani. Sofea yang mahu Aleesya berubah mulai dimusuhi Aleesya yang menyangka Sofea berlakon untuk meniduri Firdaus. Apabila Sofea mengikut Firdaus ke kampung, bagi mendalami Islam tanpa gangguan, Aleesya semakin liar dan mula hilang pertimbangan sehingga sanggup mengikut Hani ke dalam dunia ‘pil khayal dan parti seks bebas’. Semasa mengikuti sebuah parti seks yang dianjurkan oleh Zachery, Aleesya ‘hilang dara’, menyebabkan beliau tersedar dari kebodohannya.

Hani yang sudah lama ‘hilang dara’ cuba menenangkan Aleesya dan memberitahunya, pada zaman sekarang, dara tidak penting. Menyedari beliau bukan dara lagi, Aleesya yang hilang maruah, mengambil keputusan untuk bertaubat dan mendekatkan diri dengan Allah. Beliau meminta bantuan Firdaus untuk mendidiknya juga menyelamatkan maruahnya dengan cara menikahinya. Aleesya ditemani Hani, pergi ke kampung Firdaus. Permintaan Aleesya menyebabkan Firdaus berada dalam dilemma, kerana Firdaus yang sudah tertarik pada Sofea, berjanji mahu mengahwini Sofea. Sofea pula memberitahu Firdaus bahawa walaupun dia hidup tanpa agama, dia masih dara kerana dia berpegang pada pegangan bahawa, ‘mahkotanya’ hanya untuk seorang lelaki yang boleh mendidiknya menjadi isteri yang baik.

Zachery pula memburu Hani kerana telah mencuri dadah miliknya. Kini Zachery memburu Hani dan rakan-rakannya.


Watak Dan Perwatakan

Raja Farah sebagai Sofea merupakan anak kacukan yang tidak dididik dengan ajaran Islam kerana ibu bapanya mengamalkan cara hidup Barat. Walaupun hidup dalam serba kemewahan dan tidak hidup dengan cara hidup Islam seperti pergaulan bebas, namun beliau tetap mempertahankan ‘mahkotanya’ hanya untuk suaminya kelak.

Yana sebagai Aleesya yang hidup dalam kemewahan dan mempunyai didikan agama asas di mana dia tahu dan pandai solat serta mengaji. Namun beliau tetap mengamalkan cara hidup yang melanggar batas-batas agama Islam.

Diana Amir sebagai Hani pula dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan namun diberi didikan agama oleh kedua ibu bapanya. Beliau seorang yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada dan sering menyalahkan kedua ibu bapanya dan takdir kerana keadaan hidup yang susah. Akhirnya beliau mengambil jalan mudah dengan mengedar dadah yang diambil dari teman lelakinya. Beliau juga mengamalkan hidup sosial dan tidak bermoral.

Farid Kamil sebagai Zachery yang merupakan teman lelaki Hani seorang pengedar dadah. Beliau sering menganjurkan parti-parti liar untuk keseronokan dan mengambil kesempatan ke atas gadis-gadis.


Ulasan Filem

Aku Masih Dara adalah filem yang membongkar keruntuhan akhlak dan moral di kalangan remaja. Filem ini mengisahakan gelagat tiga gadis beragama Islam iaitu Aleesya, Sofea dan Hani yang menjadi kaki clubbing. Aktiviti dominan mereka adalah bergaul dan bersuka ria tanpa mengenal batasan, tanpa sempadan.
Filem ni digarap berdasarkan kisah benar remaja sosial untuk memaparkan kisah-kisah remaja Islam yang gaya hidup mereka jauh menyimpang dari landasan sebenar. Ia ditayangkan supaya masyarakat membuka mata pada realiti kehidupan masa kini. Sebagai umat Islam hendaklah melaksanakan cara hidup Islam sebenar supaya hidup akan mencapai ketenangan yang dicari.


Unsur Positif

Antara unsur-unsur positif yang terdapat dalam filem ini ialah walaupun hidup sudah jauh menyimpang dari landasan hidup Islam sebenar tetapi akhirnya kembali ke pangkal jalan juga. Cara dakwah yang berkesan iaitu menegur secara baik dan lemah lembut mampu mengubah seseorang. Islam mengajar kita bagaimana cara berdakwah iaitu menegur dengan cara yang baik dan bukannya menghukum.

Unsur Negatif

Cara hidup yang terlalu sosial dan pakaian yang seksi ada kalanya tidak sesuai untuk ditonton oleh semua golongan. Walaupun ia menggambarkan realiti kehidupan sebenar namun hendaklah dibataskan. Ibu bapa yang bertungkus lumus mencari duit sehingga mengabaikan didikan dalam keluarga. Sepetutnya mereka hendaklah membahagikan masa antara kerja dan keluarga. Mereka hendaklah menitikberatkan keluarga di samping mencari rezeki untuk menyara hidup supaya memperoleh kehidupan aman dan bahagia.


Pengajaran/ Cadangan

Dari filem ini, kita dapat ambil ikhtibar bahawa hidup bukanlah untuk bergembira semata-mata. Harus diingat bahawa kita hidup ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Sebagai umat Islam, kita haruslah sedar bahawa kita mestilah hidup dilandasan yang telah ditetapkan. Hendaklah kita menjaga diri kita dari terjebak dengan hasutan syaitan dan lalai dari menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Selain itu, perbanyakkan mendedahkan hal-hal yang berkaitan dengan agama dalam filem kerana secara tidak langsung ia akan menyedarkan umat tentang tanggungjawab sebagai umat Islam di samping berdakwah kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment