Monday, April 26, 2010

Maksud Dakwah dan Kepentingannya

"Barang siapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaan), apabila ia tidak berkuasa (dengan tangan) maka dengan lidahnya (teguran atau nasihat), apabila tidak kuasa (dengan lidahnya) maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim).

Dari segi bahasa:

Dakwah ertinya menyeru, mengajak, memanggil, menyampai, dan mendorong(5 M). Perkataan- perkataan yang seiring dengan dakwah seperti Al- Wa’zu, Al- Irsyad, At- Tabligh dan lain-lain lagi.


Dari segi istilah:

Dakwah ialah mengajak atau menyeru manusia ke jalan Allah dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran supaya mereka mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Berdasarkan pengertian di atas, dakwah mengajak manusia supaya menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan syumul. Islam dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan mereka tanpa wujud pemisahan dan pengasingan sebagaimana firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 208: Dalam konteks kehidupan hari ini dakwah mesti dilaksanakan oleh setiap muslim bagi memakmur, mengislah dan mengangkat nilai dan martabat manusia. Beberapa alasan berikut yang menunjukkan betapa pentingnya gerakan dakwah iaitu:

1. Pengaruh sekularisma yang telah lama bertapak dalam kehidupan orang-orang Islam sehingga mempengaruhi pemikiran, perasaan, pandangan dan cara hidup mereka. Mereka melihat Islam dalam bentuk yang terpisah dalam aspek kehidupan ini. Dakwah mesti dijalankan bagi menyelamatkan umat. Sehubungan dengan itu Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 85:

"Apakah patut kamu hanya percaya kepada sebahagian daripada isi kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu daripada kamu selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab siksa yang amat berat".

2. Gejala keruntuhan sosial yang membawa kepada penghakisan akidah yang berlaku pada masa kini seperti pergaulan bebas lelaki wanita, kelahiran anak luar nikah dan pembuangan anak yang meningkat, budaya lepak, pelacur remaja, penyalahgunaan dadah, Aids dan sebagainya.

Fenomena yang wujud menuntut kepada method, kaedah dan uslub dakwah yang sesuai untuk menanganinya. Sabda Rasulullah S.A.W.

"Barang siapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaan), apabila ia tidak berkuasa (dengan tangan) maka dengan lidahnya (teguran atau nasihat), apabila tidak kuasa (dengan lidahnya) maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim).

3. Gerakan musuh Islam yang membuat pelbagai rancangan dan strategi serta bergerak secara berjemaah bagi menghancurkan Islam dan meleburkan umatnya. Di antara perancangan mereka sebagaimana yang dijelaskan oleh tokoh Islam "Jala Al-Alam" iaitu:

3.1 Hancurkan akidah muslim.

3.2 Hapuskan Al Quran daripada mereka

3.3 Hapuskan sistem khalifah Islam.

3.4 Hapuskan tokoh-tokoh Islam.

3.5 Rosakkan akhlak muslim dan fikiran mereka.

3.6 Rosakkan wanita dan kembangkan pergaulan bebas.

3.7 Tanamkan keraguan terhadap agama.

3.8 Lenyapkan persatuan muslimin.

Perancangan mereka ini telah dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 32:

" Mereka mahu memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka sedangkan Allah tidak menghendaki melainkan Allah menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)".

4. Memenuhi tuntutan al-Quran supaya dilahirkan daripada kalangan manusia satu jamaah atau organisasi yang bertanggungjawab mengajak manusia ke arah ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104:

" Dan hendaklah ada dari kalangan kamu satu ummah yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Dan merekalah orang-orang yang berjaya"

Sehubungan dengan itu Nabi sendiri telah berpesan kepada umatnya dengan satu amanah yang mesti dilaksanakan dengan sabdanya:

"Sampaikanlah sesuatu daripada aku walaupun satu ayat sekalipun"

Di sini jelas terbukti bahawa jaminan Allah bahawa kejayaan dan kecemerlangan akan dicapai bagi individu atau organisasi yang dapat melaksanakan tanggungjawab dakwah ini dengan sebaik mungkin ke arah kesejahteraan ummat.

No comments:

Post a Comment