Thursday, June 17, 2010

Cara Berkesan Pikat Remaja Minat Agama

ZAMAN remaja yang dikenali sebagai zaman ‘storm and stress’ amat sukar difahami oleh orang dewasa. Ketidakfahaman inilah sering timbul konflik antara golongan remaja dengan orang dewasa khususnya ibu bapa dan guru.

Apabila timbul konflik antara ibu bapa, golongan remaja sering bertingkah laku yang bertentangan dengan kehendak ibu bapa dan orang dewasa kerana mereka menganggap orang dewasa tidak memahami jiwa mereka. Memahami emosi remaja pada hari ini satu keperluan kepada orang dewasa ketika mendidik golongan remaja. Begitu juga kepada pendakwah yang ingin membimbing dan menjalankan kegiatan dakwah untuk golongan ini, mereka terlebih dulu perlu memahami emosi remaja supaya seruan dakwah dilakukan bersesuaian dengan jiwa golongan ini. Dengan itu, seruan dakwah memberi kesan mendalam kepada jiwa mereka.

Emosi adalah sesuatu yang kompleks dalam diri manusia. Ia membabitkan tindak balas tubuh badan seperti pernafasan, denyutan dan lain-lain. Dalam Kamus Psikologi iaitu Mu’jam Ilm al-Nafs, mentakrifkan emosi sebagai infi’al iaitu keadaan dalaman yang menunjukkan pengalaman dan perbuatan dizahirkan dalam suatu peristiwa yang berlaku seperti perasaan takut, marah, kecewa, gembira, suka dan duka. Dalam Encyclopedia of Social Psychology pula, mentakrifkan emosi sebagai hasil tindak balas kepada sesuatu kejadian atau peristiwa termasuk tindak balas psikologikal, tindak balas tingkah laku, tindak balas kognitif dan perasaan dialami sama ada menggembirakan atau tidak.

Perkembangan emosi remaja pada peringkat awal terutama pada zaman kanak-kanak banyak dipengaruhi melalui pelaziman dan cara peniruan. Cara pelaziman berlaku dengan mudah dan cepat pada masa beberapa tahun permulaan hidup mereka. Kanak-kanak menggunakan daya imaginasi dalam membayangkan sesuatu mengikut yang telah dilazimkan. Cara peniruan pula, kanak-kanak meniru tingkah laku emosi yang diperhatikannya pada orang lain dan memberikan gerak balas terhadap perkara berkenaan dengan cara yang tidak dapat dibuatnya dulu. Oleh kerana itu, emosi remaja pada zaman kanak-kanak berkembang mengikut proses pelaziman dan peniruan.

Ibu bapa adalah orang pertama yang menjadi contoh kepada anak-anak remaja. Jika ibu bapa berkelakuan buruk, bertindak keras dan menganiaya anak-anak, emosi dan tingkah lakunya akan turut menyeleweng kerana sejak kecil jiwa mereka ditanam dengan bibit kerosakan. Ketika usia remaja pula, emosi berkembang dengan pesat hasil daripada kematangan dan pembelajaran. Itulah sebabnya bentuk pernyataan emosi pada zaman remaja banyak bergantung kepada apa yang dipelajarinya daripada masyarakat sekeliling.

Antara ciri emosi remaja ialah romantik, mudah keliru dan mudah marah atau memberontak. Remaja yang mempunyai ciri-ciri romantik adalah remaja yang mengalami tarikan heteroseksual (tarikan antara remaja yang berlainan jantina) melalui perdampingan mereka dengan remaja lain. Pada zaman remaja adalah puncak wujudnya perasaan cinta romantis. Menurut Dr Rohaty Majzub, perasaan romantis membawa pengertian bahawa mereka menganggap dan menggambarkan individu yang dicintai itulah yang paling ideal, mempunyai watak, sahsiah atau ciri-ciri yang memikat hati remaja. Perasaan romantis remaja mempunyai pengaruh mendalam kepada hidup mereka. Perasaan romantis ini mendorong remaja menulis dalam diari peribadi. Penulisan diari peribadi adalah ciri yang menunjukkan pengasingan diri dan keupayaannya untuk menghuraikan mengenai dirinya di samping keinginannya untuk lari daripada gelisah melanda dirinya. Remaja akan mencatatkan peristiwa harian terutama bagi menggambarkan perasaannya sama ada perasaan cinta, kecewa dan gembira.

Ketika zaman remaja, perubahan fizikal, emosi dan personaliti berlaku dengan pesat dan mereka harus memahaminya dengan teliti. Ketika ini juga berlaku perubahan dalam hubungan mereka dengan keluarga, rakan sebaya dan masyarakat sekeliling. Harapan yang baik dan tanggungjawab mula dikenakan kepada mereka. Dalam keadaan begini kadang-kadang mereka mudah keliru dengan peranan dan tanggungjawab mereka. Itulah sebabnya golongan remaja mudah bertukar pendirian, pendapat, ideologi dan kawan-kawan (Mahmood Nazar Mohamed, 1990).

Selain itu, remaja juga mempunyai emosi yang mudah marah. Zaman remaja yang dikatakan sebagai ‘storm and stress’ mudah menyebabkan remaja memberontak dan marah terhadap seseorang atau sesuatu perkara. Seseorang remaja mempunyai kehendak yang harus diterima keluarga, rakannya dan masyarakat sekeliling. Remaja mudah menunjukkan emosi memberontak dan marahnya dengan tindakan agresif seperti menderhaka kepada keluarga, lari dari rumah dan ingkar dengan peraturan sekolah. Mereka menderhaka kepada keluarga sebagai percubaan untuk bebas daripada sifat keanak-anakan dan untuk mencapai kemerdekaan jiwa. Jiwa ingin lari dari rumah pula, apabila mereka rasa tidak selesa dengan undang-undang dan cuba untuk hidup bebas.

Tindakan ingkar dari peraturan sekolah pula, kerana remaja menganggap pembelajaran di sekolah mengganggu jiwa remajanya kerana di sekolah terdapat banyak peraturan dan ruang kritikan seperti guru, kerja sekolah dan disiplin. Pendakwah perlu memahami bahawa remaja yang dalam proses perkembangan dan perubahan boleh menimbulkan pelbagai masalah emosi kerana mereka sedang berhadapan dengan proses penyesuaian diri antara zaman kanak-kanak dengan alam dewasa.

Bagi remaja yang bersedia dengan kehadiran masalah dan sanggup menerimanya dengan hati terbuka, mereka berjaya menerima perubahan itu sekali pun kadang kala pahit baginya. Tetapi bagi sesetengah remaja pula, tidak berupaya menyesuai atau menerima dengan mudah perubahan itu, lalu menunjukkan gangguan psikologi pada dirinya. Dr Zakiah Daradjat, seorang pengkaji masalah remaja berkata, perkara yang menyebabkan masalah emosi remaja adalah disebabkan oleh perubahan jasmani, terutama perubahan hormon seks, keadaan masyarakat dan keadaan ekonomi yang melingkungi remaja serta perlakuan orang tua yang kaku dan bertentangan dengan remaja. Masalah yang berkaitan dengan emosi remaja disebut juga sebagai masalah personal psikologi (Hassan Langgulung,1977). Masalah personal psikologi ialah perkara yang berkaitan peribadi dan masalah psikologi remaja itu sendiri seperti personaliti, perubahan emosi, kebimbangan, kerisauan, keyakinan dan tekanan. Masalah personaliti seperti mudah hilang sabar, takut membuat kesilapan, sukar membuat keputusan, sukar melupakan kesilapan lalu dan gagal dalam beberapa perkara dilakukan. Zaman remaja yang penuh dengan tekanan dan kecelaruan emosi, amat memerlukan pendekatan dakwah berhikmah dalam proses memberi bimbingan kepada golongan ini. Pendakwah perlu menggunakan pendekatan psikologi dakwah. Untuk melaksanakan pendekatan psikologi dakwah, terlebih dulu pendakwah perlu memahami psikologi remaja. Dengan pemahaman ini, pendakwah dapat menyelami emosi dan jiwa remaja serta dapat menggunakan pendekatan sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka.

Remaja amat memerlukan sokongan dan pemahaman daripada orang dewasa ketika mereka mengharungi zaman yang penuh dengan cabaran ini. Ketika ini, perubahan dari aspek emosi agak pesat. Sekiranya mereka tidak mendapat sokongan daripada orang dewasa, mereka mudah mengalami gangguan emosi dan menimbulkan masalah emosi yang boleh memberi kesan tidak baik kepada perkembangan psikologi remaja.

INTI PATI:

· Seruan dakwah dilakukan bersesuaian dengan jiwa remaja supaya seruan memberi kesan mendalam membimbing mereka.

· Ketika usia remaja pula, emosi berkembang dengan pesat hasil daripada kematangan dan pembelajaran, maka bentuk pernyataan emosi pada zaman remaja banyak bergantung kepada apa yang dipelajarinya daripada masyarakat sekeliling.

· Antara ciri emosi remaja ialah romantik, mudah keliru dan mudah marah atau memberontak.

· Penulisan diari peribadi adalah ciri yang menunjukkan pengasingan diri dan keupayaannya untuk menghuraikan mengenai dirinya di samping keinginannya untuk lari daripada gelisah melanda dirinya.

· Pendakwah perlu menyelami emosi dan jiwa remaja serta dapat menggunakan pendekatan sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka.

Hukum Berkawan Berlainan Jantina : Suatu pendapat dari alim ulama’ [Yamen] iaitu drpd. prof syed najib asybiti yang berpendapat haram, yg. lain pula

Fatawa alQardhawi :

Pendapat dari Yemen itu termasuk pendapat yg keras yang tidak berpijak kepada nas, ia banyak menzalimi wanita dengan pelbagai fatwa yg keras dan ketat hingga wanita terpenjara di rumah-rumah mereka.

Ada juga di sana pendapat kaum Liberal/ Women’s lib yang berlawanan dengan fatwa Yemen itu, yakni menyeru wanita meninggalkan syari’at dan lepas bebas spt wanita Barat.

Pokoknya: kedua-dua golongan ini : liberalis yg membebaskan wanita semaksimanya dan aliran keTimuran yg mengongkong wanita, memenjara dan menzaliminya.

Adapun pendapat pertengahan Islam ialah wanita sejak zaman salaf assoleh tidak lepas bebas atau terpenjara di rumah mereka, bahkan mereka aktif keluar bersama kaum lelaki (dlm suasana terkawal) cthnya: ke mesjid utk solat berjama’ah, Juma’at, hari Raya, di mana mesjid tidak ada sebarang tirai pemisah, wanita keluar melakukan dakwah, amar makruf dan nahy mungkar, menghadiri majlis ilmu, menyertai perang jihad, mencari rezki atau berkerjaya, berpolitik, mendapatkan hiburan yg baik, menghadiri perayaan dan menyertai perkumpulan yg membawa manfa’at.

Inilah maksud firman Allah ta’ala”

” dan orang2 beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bg setengah yg lain, mereka menyuruh berbuat makruf dan mencegah mungkar.” AQT 9: 71

Dalam konteks ini, tiada halangan lelaki dan perempuan ajnabi berkawan dan bersahabat serta liqa’ atau pertemuan dalam bekerjasama dalam perkara2 kebaikan: menuntut ilmu, program2 kebajikan dan jihad.

Perincian Dr Abdul Halil Abu Syuqqah (sahabat Dr Qardhawi),
1. Pertemuan dan kerjasama itu hendaklah dalam suasana serius
2. menahan pandangan
3. menghindari berjabat tangan
4. mengenakan pakaian yg menepati syari’at (jilbab)
5. tidak bersesakan dan elok jika ada pemisahan
6. menghindari khulwah (berdua-duaan di tempat sunyi), namun boleh jika:
a. khulwah di kawasan awam yg ada orang ramai
b. beberapa lelaki dengan seorang perempuan
c. seorang lelaki dengan beberapa perempuan..

7. tidak terlalu lama dan berulang
8. menghindari tempat yg mencurigai
9. menjauhi perbuatan dosa

Etika khusus wanita jika keluar mengadakan pertemuan dengan lelaki:
1. jika bercakap tidak menggunakan bahasa yg lunak dan gaya yg menggoda
2. berjalan dengan sopan dan tertib
3. elakkan pergerakan yg manja dan menggoda
4. tidak memakai parfum/pewangi
5. serius dlm berbicara

Harta Untuk si Mati : Apakah Sampai Perbelanjaan Harta Kepada Si Mati Yang Dikeluarkan Setelah Meninggal Sebagai Contoh Membeli Saham Wakaf .....

Imam Nawawi rh. mengatakan sepakat ulama’ mengatakan bahawa amalan harta boleh sampaikan ganjarannya kepada si-mati, InsyaAllah.

Dari Abu Hurairah ra, :-

أَنَّ رَجُلا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ أَبِي مَاتَ وَتَرَكَ مَالا وَلَمْ يُوصِ ، فَهَلْ يُكَفِّرُ عَنْهُ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهُ ؟ قَالَ : نَعَمْ .

“Telah datang seorang lelaki dan berkata kepada Nabi : Bapaku telah mati dan meninggalkan harta, akan tetapi dia tidak membuat wasiat. Adakah boleh mngkifaratkannya jika saya melakukan sedekah bagi pihaknya? Baginda menjawab : YA”. [Hadith Riwayat Muslim #1630].

Dari A’isyah ra. :-

أَنَّ رَجُلا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا ( أي : ماتت فجأة ) ، وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ ، فَلِي أَجْرٌ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا ؟ قَالَ : نَعَمْ

“Telah datang seorang lelaki dan berkata kepada Nabi : Sesungguhnya ibuku tiba-tiba mati dan aku rasakan jika aku bercakap dengannya dia akan memberikan sedekah, Apakah aku mendapat ganjaran jka aku memberi sedekah bagi pihaknya. Baginda menjawab : YA” [Hadith Riwayat Muslim #1004]

Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini (Sharh Muslim) mengatakan :-

وَفِي هَذَا الْحَدِيث جَوَاز الصَّدَقَة عَنْ الْمَيِّت وَاسْتِحْبَابهَا , وَأَنَّ ثَوَابهَا يَصِلهُ وَيَنْفَعهُ , وَيَنْفَع الْمُتَصَدِّق أَيْضًا , وَهَذَا كُلّه أَجْمَعَ عَلَيْهِ الْمُسْلِمُونَ

“Didalam hadith ini menunjukkan bahawa dibenarkan memberi sedeah bagi pihak si-mati dan mustahab (digalakkan) hukumnya, ganjaran akan sampai kepada si-mati dan memunafaatkannya, dan ia juga memberi munafaat kepada orang hidup yang melakukan sedekah. Ini adalah Ijma’ seluruh Ulama.”

Kesimpulannya, hukumnya boleh memunafaatkan harta si-mati dan sampai ganjarannya.

Berat Atau Ringannya Jenazah Tidak Menunjukkan Apa-Apa Petanda..

Tidak terdapat sebarang bukti dari syariat Islam yang menunjukkan orang yang jahat jenazahnya akan menjadi berat manakala orang baik jenazahnya menjadi ringan. Cuma sebahagian ahli fekah kemudian ini ada yang menukilkan apa yang terdapat di dalam Hasyiah kepada Nihayah al-Muhtaj (2/446) yang ada menyebut:


إذا خفت فصاحبها شهيد ; لأن الشهيد حي ، والحي أخف من الميت

Maksudnya: “Jika ringan (sesuatu jenazah), maka orang itu mati syahid, kerana orang yang mati shahid itu sebenarnya hidup, dan orang yang hidup lebih ringan daripada mayat…”

Sebenarnya kenyataan ini tidak ada bukti sama sekali. Tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan mayat lebih berat daripada orang yang hidup, tidak ada bukti dari sudut agama mahupun dari sudut akal, apatah lagi untuk dijadikan sebagai tanda kepada husnul khatimah (mati dalam keadaan baik) atau suul khatimah (Mati dalam keadaan buruk). Ia tidak tidak boleh dijadikan tanda jenazah tersebut orangnya dahulu baik ataupn jahat. Terutamanya kebelakangan ini ada sebahagian orang yang beranggapan buruk kepada jenazah yang berat, sedangkan perkara itu tidak ada dalil sama sekali.

Di dalam fatwa Majlis Fatwa Arab Saudi (9/86) terdapat soalan yang bertanyakan:

“Sekumpulan orang-orang yang baik dan memiliki pandangan yang lurus menceritakan kepada saya yang mereka pernah menyaksikan jenazah seorang lelaki muslim yang benar-benar ringan, manakala yang seorang lagi benar-benar berat, dan yang seorang lagi, ketika mereka hendak mengeluarkannya dari rumah, jenazah itu terangkat dan bergerak-gerak di atas kepada orang ramai, apakah pandangan islam dalam persoalan ini?

Jawapan:


لا نعلم لخفة الجنازة وثقلها أسبابا سوى الأسباب الحسية ، وهي نحافة الميت ، وضخامة الجسم ، أما من يزعم أن ذلك يدل على كرامة الميت إذا كان خفيفاً ، وعلى فسقه إذا كان ثقيلا، فهذا شيء لا أصل له في الشرع المطهر فيما نعلم . وأما حركة الجنازة على النعش فيدل ذلك على حياته ، وأنه لم يمت ، فلينظر في شأنه ، وليعرض على الطبيب المختص حتى يقرر موته وحياته ، ولا يستعجل في دفنه حتى يعلم يقينا أنه ميت

Maksudnya: “Tidak kami ketahui berat dan ringannya jenazah sebarang petunjuk melainkan petunjuk kepada fizikalnya samaada kurus ataupun gemuk. Adapun orang yang beranggapan perkara tersebut menunjukkan kemulian mayat jika ia ringan, dan keburukan mayat jika dia berat, maka kepercayaan ini termasuk perkara yang tidak ada asasnya di dalam agama berdasarkan pengetahun kami. Adapun tentang pergerakan jenazah, ia menunjukkan orang itu masih lagi hidup dan belum lagi meninggal dunia. Hendaklah dilihat keadaan jenazah itu, dan rujuklah kepada doctor yang berkeahlian sehingga disahkan dia masih hidup atau sudah meninggal dunia, dan jangan tergopoh-gapah hendak mengebumikannya dia sehingga diyakini dia benar-benar mati.”

Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam kitabnya Ahkam al-Jana-iz telah memasukkan: “Kepercayaan sebahagian orang yang beranggapan jenazah orang soleh menjadi ringan ke atas orang yang membawanya dan lebih cepat dapat dibawa.” Sebagai salah satu daripada perkara bid’ah yang direka-rekakan.

Cara-Cara Mandi Wajib Mengikut Sunnah

1.

عن ابن عباس قال: قالت ميمونة: وضعت لرسول الله صلى الله عليه وسلم ماء يغتسل به، فأفرغ على يديه، فغسلهما مرتين أو ثلاثا، ثم أفرغ بيمينه على شماله، فغسل مذاكيره، ثم دلك يده بالأرض، ثم مضمض واستنشق، ثم غسل وجهه ويديه، وغسل رأسه ثلاثا، ثم أفرغ على جسده، ثم تنحى من مقامه، فغسل قدميه.

Dari Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata: Maimunah RA berkata: Aku meletakkan air untuk Rasulullah SAW mandi wajib. Baginda SAW menyiram kedua tangannya dan membasuh kedua tangannya dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda SAW menyiram air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya dan membasuh kemaluannya (dengan menggunakan tangan kiri). Selepas itu, Baginda SAW menyapu tangannya ke tanah, kemudian Baginda SAW memasukkaan air ke dalam hidung dan mulut kemudian mengeluarkannya. Seterusnya Baginda SAW membasuh mukanya dan kedua tangannya dan membasuh kepalanya tiga kali. Selepas itu Baginda SAW menyiram air ke atas tubuhnya, kemudian baginda saw berpindah dari tempat tersebut dan mencuci kedua kakinya. (al-Bukhari)

Di dalam Sahih Muslim (317) disebutkan pula:

ثم أتيته بالمنديل فرده

Kemudian aku (Maimunah RA) memberikan kepada Baginda SAW sapu tangan, lalu Baginda SAW menolaknya.

Ringkasan cara mandi wajib berdasarkan dalil-dalil di atas ialah:

Ø Niat. Ini berdasarkan hadis yang popular bahawa setiap amal mestilah dengan niat.

Ø Membaca ‘Bismillah’.

Ø Mencuci tangan sebanyak tiga kali.

Ø Mencuci kemaluan dengan tangan kiri

Ø Menggosokkan tangan kiri ke tanah lalu lalu mencucinya. Boleh juga mencuci tangan kiri itu dengan sabun.

Ø Berwudhu. Wudhu boleh dilakukan seperti wudhu untuk solat (Sohih Muslim:317) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.

Ø Menyela-nyela rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air sepenuh dua telapak tangan. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah di dalam sahih al-Bukhari:

ثم يدخل أصابعه في الماء، فيخلل بها أصول شعره، ثم يصب على رأسه ثلاث غرف بيديه

“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian menyela-nyela rambutnya, kemudia menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”

Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah RA di dalam sahih Muslim (318):

. بدأ بشق رأسه الأيمن. ثم الأيسر

Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudia bahagian kiri.

Bagi wanita yang dalam keadaan junub, diblehkan untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah RA.

عن أم سلمة، قالت: قلت: يا رسول الله! إني امرأة أشد ضفر رأسي. فأنقضه لغسل الجنابة؟ قال “لا. إنما يكفيك أن تحثي على رأسك ثلاث حثيات. ثم تفيضين عليك الماء فتطهرين

Dari Ummu Salamah RA, beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW، sesungguhnya aku perempuan yang suka mengikat rambutku. Perlukah aku membuka ikatan tersebut ketika mandi junub? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, cukuplah bagi kamu dengan dengan menyiramkan air ke atas kepala kamu sebanyak 3 kali dan meratakan air ke seluruh tubuh kamu, dan kamu sudah dikira sudah bersuci. (Sahih Muslim:330)

Akan tetapi jika mandi untuk haidh, maka dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah ra di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haidh ketika menunaikan haji. Lalu baginda saw berkata sedemikian:

دعي عمرتك، وانقضي رأسك، وامتشطي

“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

* Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

عن عائشة؛ قالت: إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يحب التيمن في شأنه كله. في نعليه، وترجله، وطهوره

Dari ‘Aisyah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasutr, ketika bersikat dan ketika bersuci. (Sahih Muslim:268)

Ø Meratakan air ke seluruh tubuh. Kita mestilah semua lipatan tubuh seperti ketiak dan lain-lain. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah (Sunan Abi Daud:243, di nilai sahih oleh al-Albani)

Ø Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki.

Suami Minum Susu Isteri

Sheikh Yusuf Al-Qaradawi ditanya soalan ini dan beliau berkata :

“Pernah suatu ketika pada zaman sahabat R.A. Salah seorang sahabat R.A melakukan hubungan dgn isterinya, dan semasa melakukan perhubungan beliau telah menghisap payu dara isterinya sehingga susu telah masuk ke dlm perutnya. Oleh kerana itu, beliau telah pergi berjumpa dgn Abu Musa Al-Asha`ari R.A utk bertanyakan hukum tentang ini. Lalu Abu Musa menjawab, “Isteri engkau sudah tidak halal buatmu.”

Selepas itu, lelaki tersebut telah pergi berjumpa dgn Abdullah Ibn Mas’ud R.A utk bertanyakan perkara yang sama dan Ibn Mas’ud mengatakan ia bukanlah menjadi kesalahan. Ibn Mas’ud memberikan hujjah dari hadith yang mana dgn jelas menyatakan bahawa susuan hanyalah terbatas utk 2 tahun pertama kanak-kanak. Lalu Ibn Mas’ud membacakan ayat:


وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu…”(Surah Al-Baqarah ayat 233)

هَذَا إِرْشَادٌ مِنْ اللَّه تَعَالَى لِلْوَالِدَاتِ أَنْ يُرْضِعْنَ أَوْلَادهنَّ كَمَال الرَّضَاعَة وَهِيَ سَنَتَانِ فَلَا اِعْتِبَار بِالرَّضَاعَةِ بَعْد ذَلِكَ وَلِهَذَا

Ini adalah perintah Allah Ta’ala kpd para ibu yang menyusukan anak sehingga sempurna tempoh itu yakni 2 tahun. Maka selepas tempoh itu (2 tahun), ia tidak tidak dikira. Mendengar hujjah ini, maka Abu Musa R.A berkata: “Jgnlah engkau bertanya aku lagi sekiranya ulama besar ini berbicara

Penjelasan selanjutnya ayat al-baqarah

قَالَ ” لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَة ” وَذَهَبَ أَكْثَر الْأَئِمَّة إِلَى أَنَّهُ لَا يُحَرِّم مِنْ الرَّضَاعَة إِلَّا مَا كَانَ دُون الْحَوْلَيْنِ فَلَوْ اِرْتَضَعَ الْمَوْلُود وَعُمْره فَوْقهمَا لَمْ يُحَرِّم


Berfirman Allah, “Bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu…”

Oleh yang demikian, penyusuan menyebabkan pengharaman itu (i.e: haram utk dinikahi) berlaku sblm 2 tahun. Sekiranya bayi menyusu selepas 2 tahun, maka pengharaman itu tidak ada

قَالَ التِّرْمِذِيّ : ” بَاب مَا جَاءَ أَنَّ الرَّضَاعَة لَا تُحَرِّم إِلَّا فِي الصِّغَر دُون الْحَوْلَيْنِ” حَدَّثَنَا قُتَيْبَة حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَة عَنْ هِشَام بْن عُرْوَة عَنْ فَاطِمَة بِنْت الْمُنْذِر عَنْ أُمّ سَلَمَة قَالَتْ : قَالَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ : ” لَا يُحَرِّمُ مِنْ الرَّضَاعِ إِلَّا مَا فَتَقَ الْأَمْعَاءَ فِي الثَّدْيِ وَكَانَ قَبْل الْفِطَامِ ” هَذَا حَدِيث حَسَن صَحِيح وَالْعَمَل عَلَى هَذَا عِنْد أَكْثَر أَهْل الْعِلْم مِنْ أَصْحَاب رَسُول اللَّه – صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَغَيْرهمْ أَنَّ الرَّضَاعَة لَا تُحَرِّم إِلَّا مَا كَانَ دُون الْحَوْلَيْنِ وَمَا كَانَ بَعْد الْحَوْلَيْنِ الْكَامِلَيْنِ فَإِنَّهُ لَا يُحَرِّم شَيْئًا.


(تَفَرَّدَ التِّرْمِذِيّ بِرِوَايَةِ هَذَا الْحَدِيث وَرِجَاله عَلَى شَرْط الصَّحِيحَيْنِ)

Berkata Imam At-Tirmidzi di bawah Bab Penyusuan Menyebabkan Pengharaman Dlm tempoh 2 tahun pertama: Diriwayatkan dari Qutaibah diriwayatkan dari Abu Awanah dari Hisham bin `Urwah dari Fathimah Bint Munzir dari Umm Salamah berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Penyusuan akan menyebabkan haram sekiranya ia berlaku menyusu dan sebelum fitam (sblm 2 tahun).” At-Tirmidzi mengatakan, “Hadith ini hasan sahih dan majority para ahli ilmu dari kalangan para sahabat Rasulullah S.A.W mengamalkan bahawa penyusuan menyebabkan pengharaman sblm tamat tempoh 2 tahun dan penyusuan selepas itu tidak akan menyebabkan pengharaman.” (At-Tirmidzi shj meriwayatkan hadith ini dgn jalur rijal yang memenuhi syarat sahihain)

Kesimpulannya: Tidak mengapa bapa bayi berbuat demikian dan tidak menyebabkan berlaku pengharaman.

Monday, April 26, 2010

Maksud Dakwah dan Kepentingannya

"Barang siapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaan), apabila ia tidak berkuasa (dengan tangan) maka dengan lidahnya (teguran atau nasihat), apabila tidak kuasa (dengan lidahnya) maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim).

Dari segi bahasa:

Dakwah ertinya menyeru, mengajak, memanggil, menyampai, dan mendorong(5 M). Perkataan- perkataan yang seiring dengan dakwah seperti Al- Wa’zu, Al- Irsyad, At- Tabligh dan lain-lain lagi.


Dari segi istilah:

Dakwah ialah mengajak atau menyeru manusia ke jalan Allah dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran supaya mereka mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Berdasarkan pengertian di atas, dakwah mengajak manusia supaya menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan syumul. Islam dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan mereka tanpa wujud pemisahan dan pengasingan sebagaimana firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 208: Dalam konteks kehidupan hari ini dakwah mesti dilaksanakan oleh setiap muslim bagi memakmur, mengislah dan mengangkat nilai dan martabat manusia. Beberapa alasan berikut yang menunjukkan betapa pentingnya gerakan dakwah iaitu:

1. Pengaruh sekularisma yang telah lama bertapak dalam kehidupan orang-orang Islam sehingga mempengaruhi pemikiran, perasaan, pandangan dan cara hidup mereka. Mereka melihat Islam dalam bentuk yang terpisah dalam aspek kehidupan ini. Dakwah mesti dijalankan bagi menyelamatkan umat. Sehubungan dengan itu Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 85:

"Apakah patut kamu hanya percaya kepada sebahagian daripada isi kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu daripada kamu selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab siksa yang amat berat".

2. Gejala keruntuhan sosial yang membawa kepada penghakisan akidah yang berlaku pada masa kini seperti pergaulan bebas lelaki wanita, kelahiran anak luar nikah dan pembuangan anak yang meningkat, budaya lepak, pelacur remaja, penyalahgunaan dadah, Aids dan sebagainya.

Fenomena yang wujud menuntut kepada method, kaedah dan uslub dakwah yang sesuai untuk menanganinya. Sabda Rasulullah S.A.W.

"Barang siapa daripada kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaan), apabila ia tidak berkuasa (dengan tangan) maka dengan lidahnya (teguran atau nasihat), apabila tidak kuasa (dengan lidahnya) maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim).

3. Gerakan musuh Islam yang membuat pelbagai rancangan dan strategi serta bergerak secara berjemaah bagi menghancurkan Islam dan meleburkan umatnya. Di antara perancangan mereka sebagaimana yang dijelaskan oleh tokoh Islam "Jala Al-Alam" iaitu:

3.1 Hancurkan akidah muslim.

3.2 Hapuskan Al Quran daripada mereka

3.3 Hapuskan sistem khalifah Islam.

3.4 Hapuskan tokoh-tokoh Islam.

3.5 Rosakkan akhlak muslim dan fikiran mereka.

3.6 Rosakkan wanita dan kembangkan pergaulan bebas.

3.7 Tanamkan keraguan terhadap agama.

3.8 Lenyapkan persatuan muslimin.

Perancangan mereka ini telah dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 32:

" Mereka mahu memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka sedangkan Allah tidak menghendaki melainkan Allah menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)".

4. Memenuhi tuntutan al-Quran supaya dilahirkan daripada kalangan manusia satu jamaah atau organisasi yang bertanggungjawab mengajak manusia ke arah ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104:

" Dan hendaklah ada dari kalangan kamu satu ummah yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Dan merekalah orang-orang yang berjaya"

Sehubungan dengan itu Nabi sendiri telah berpesan kepada umatnya dengan satu amanah yang mesti dilaksanakan dengan sabdanya:

"Sampaikanlah sesuatu daripada aku walaupun satu ayat sekalipun"

Di sini jelas terbukti bahawa jaminan Allah bahawa kejayaan dan kecemerlangan akan dicapai bagi individu atau organisasi yang dapat melaksanakan tanggungjawab dakwah ini dengan sebaik mungkin ke arah kesejahteraan ummat.

HIV AIDS

Pengenalan

"Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit" ataupun AIDS adalah penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai HIV (Human Immunodeficiency Virus) yang menyebabkan kegagalan sistem imun tubuh ataupun kebolehan semulajadi tubuh untuk melawan penyakit.

AIDS melumpuhkan kemampuan tubuh untuk melawan penyakit (sistem imun tubuh). Ini kerana kuman HIV telah memusnahkan sel T CD4+ yang bertanggungjawab melawan penyakit yang disebabkan oleh kuman bakteria, virus dan lain-lain. AIDS bukanlah satu penyakit yang tersendiri. Dengan kegagalan sistem imun, pesakit AIDS lebih mudah terdedah kepada pelbagai kuman, termasuklah yang tidak membahayakan manusia yang normal beberapa jenis kanser yang jarang-jarang berlaku

HIV menyerang dengan perlahan-lahan dan memusnahkan sesetengah sel darah putih di dalam badan (sel T CD4+). Dalam keadaan normal, sel-sel ini membantu tubuh melawan jangkitan kuman dan penyakit yang disebabkan oleh virus dan bakteria. Apabila HIV telah menyerang badan seseorang, sel-sel ini tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab mereka kerana telah dimusnahkan secara perlahan-lahan oleh HIV. Ini bermaksud bahawa HIV akan turut memusnahkan keupayaan tubuh badan untuk melawan penyakit.

Sebenarnya AIDS merupakan peringkat lanjutan bagi jangkitan HIV. Perkembangan penyakit ini melalui beberapa fasa :

Fasa 1 - bermula dengan HIV menjangkiti seseorang individu

Fasa 2 - di mana virus tersebut membiak tetapi pesakit masih tidak mempamerkan sebarang tanda-tanda atau gejala-gejala yang tertentu

Fasa 3 - membiak dan berkembang membawa kepada kewujudan beberapa tanda dan gejala yang memburukkan lagi mekanisma pertahanan tubuh.

Fasa 4 - pesakit mula mengalami penyakit-penyakit yang jarang berlaku yang digelar 'infeksi oportunistik' seperti Pneumocystis Carinii Pneumonia dan kanser termasuk Sarkoma Kaposi.

Fasa 5 - pesakit tersebut disahkan sebagai pesakit AIDS. Di dalam fasa ini, mekanisma pertahanan mengalami kemusnahan yang teruk dan sudah tidak mampu lagi untuk melawan serangan bakteria, virus dan kuman-kuman lain.


Penyebab

Penyebab bagi AIDS ialah HIV. HIV tidak dapat hidup di luar tubuh manusia dan hanya boleh dipindahkan apabila bendalir badan daripada individu yang telah dijangkiti memasuki ke dalam tubuh individu yang belum dijangkiti. HIV berjangkit melalui pemindahan sebarang bendalir dari tubuh mereka yang telah dijangkiti kepada orang lain. Virus ini boleh didapati di dalam bendalir-bendalir tubuh seperti:

Ø Darah

Ø Cecair seminal/air mani (dan juga air mazi)

Ø Rembesan faraj

Ø Susu badan


Perebakan

AIDS merebak terutamanya melalui darah, semen (air mani) dan rembesan faraj mereka yang telah dijangkiti virus AIDS. AIDS juga boleh merebak dari ibu yang telah dijangkiti kepada bayi yang dikandungnya. Berdasarkan fakta di atas, aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan anda terdedah kepada jangkitan AIDS adalah seperti berikut:

Ø Melakukan hubungan seks dengan berbilang pasangan dari kedua-dua jantina

Ø Melakukan hubungan seks dengan pelacur

Ø Berkongsi jarum dan picagari di kalangan penagih dadah


Transmisi/Jangkitan Virus AIDS

Virus HIV wujud di dalam bendalir tubuh manusia yang telah dijangkiti seperti di dalam cecair seminal, rembesan faraj dan darah. Virus ini boleh merebak dari individu yang telah dijangkiti kepada orang lain melalui perkara-perkara berikut:

  1. Melakukan hubungan seks tanpa perlindungan (cth : memakai kondom) bersama-sama individu yang telah dijangkiti
  2. Pertukaran darah atau produk darah dari individu yang telah dijangkiti ke dalam sistem peredaran darah orang lain.
  3. Daripada ibu yang dijangkit kepada janin yang dikandung
  4. Daripada organ, tisu atau air mani mereka yang telah dijangkiti (contohnya seperti melalui pemindahan organ) AIDS tidak boleh merebak melalui sentuhan ataupun konteks biasa seperti:

Ø Berpegangan tangan

Ø Bersentuh-sentuhan di kawasan yang sesak

Ø Berjabat tangan

Ø Bekerja bersama

Ø Bermain

Ø Ciuman ringan


Anda tidak boleh dijangkiti AIDS dengan :

Ø berkongsi makanan, menggunakan kemudahan awam seperti kolam mandi atau tandas ataupun melalui gigitan nyamuk

Ø menderma darah kerana peralatan yang digunakan untuk mengambil darah tersebut adalah steril dan hanya digunakan sekali sahaja. Mereka yang tiada risiko AIDS adalah digalakkan untuk menderma darah.

Ø proses pemindahan darah kerana pada masa sekarang, semua darah yang didermakan di Malaysia telah disaring untuk mengesan kehadiran antibodi AIDS. Antibodi AIDS adalah bahan yang dihasilkan oleh tubuh mereka yang dijangkiti sebagai tindak balas terhadap jangkitan virus AIDS.

Ø menggunakan pinggan, sudu dan gelas yang digunakan oleh pesakit AIDS kerana virus AIDS tidak boleh hidup lama di luar tubuh manusia.

Ø Peralatan tersebut apabila dibasuh seperti biasa akan membunuh virus AIDS.

Faktor-Faktor Risiko

Jika anda mengamalkan perkara-perkara berikut, anda adalah golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat HIV/AIDS :

Ø Melakukan hubungan seks dengan berbilang pasangan dari kedua-dua jantina

Ø Melakukan hubungan seks dengan pelacur

Ø Berkongsi jarum di kalangan penagih dadah

Insidens

AIDS pertama kali dilaporkan di Amerika Syarikat pada tahun 1981. Semenjak itu ia telah menjadi masalah kesihatan yang penting di seluruh dunia. Di Malaysia, 300 kes baru HIV yang baru dikesan setiap bulan. Sejumlah 448 kes AIDS dan 16,349 kes HIV dilaporkan sehingga 30 Jun 1996. Majoriti mereka yang dijangkiti di Malaysia (iaitu lebih kurang 84%) berada dalam lingkungan umur antara 20 - 39 tahun, manakala lebih kurang 4% lagi adalah berumur antara 13 ke 19 tahun.

Tanda-tanda dan gejala

Pesakit AIDS akan mengalami gejala-gejala seperti di bawah:

Ø Penurunan berat badan sehingga 10% yang tidak diketahui puncanya

Ø Cirit-birit dan batuk yang kronik dan berterusan

Ø Demam yang berpanjangan. Demam ini berlaku samada secara berkala ataupun berterusan

Ø Pembengkakan nodus limfa terutamanya di leher, ketiak dan kelengkang.

Ø Jangkitan herpes zoster yang berulang-ulang. Herpes zoster merupakan infeksi saraf oleh virus yang dicirikan oleh kehadiran lepuhan pada kulit

Ø Kandidiasis di mulut dan tekak. Kandidiasis merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh sejenis kulat (fungus).

Infeksi herpes simpleks yang berulang-ulang. Herpes simpleks merupakan jangkitan virus pada kulit yang dilihat sebagai lepuhan di sekeliling mulut dan alat kelamin.


Komplikasi

Oleh kerana pesakit AIDS telah mengalami kelumpuhan fungsi sistem imun, mereka lebih mudah jatuh sakit berbanding dengan mereka yang memiliki tindak balas imun yang sihat. Komplikasi-komplikasi yang mungkin berlaku ialah:

Pneumocystis Carinii Pneumonia (sejenis penyakit radang paru-paru), yang boleh membawa maut. Penyakit ini memusnahkan paru-paru pesakit AIDS

Cytomegalovirus Retinitis merupakan penyakit mata berkaitan AIDS yang serius dan boleh menyebabkan buta.

Sarkoma Kaposi merupakan kanser berkaitan AIDS yang menyebabkan ketumbuhan/tumor pada kulit. Ia berwarna merah jambu atau ungu.

AIDS Waiting Syndrome melibatkan penurunan berat badan yang ketara, cirit-birit yang kronik atau rasa lemah dan demam yang berpanjangan atau berkala selama sekurang-kurangnya 30 hari

Sunday, April 25, 2010

KISAH NABI SYUIB

Syam (Palestin) sekarang ini. Penduduk negeri ini sudah lama melupakan kepada ajaran Para Nabi dan Rasul yang pernah diutus Allah, Mereka tidak percaya kepada Tuhan yang Maha Esa, malah digantinya Tuhan itu dengan hutan. Hutanlah yang mereka sembah, kepada hutan itulah mereka meminta pertolongan dan berlindung diri. Begitu sesat mereka mendapat penyembahan ini, lebih lebih sesat lagi dalam hidup dan penghidupan mereka. Kejahatan yang sangat merata di kalangan mereka, hidup mereka dengan jalan kicuh mengicuh, serta suka memperdayakan temannya sendiri untuk mendapatkan keuntungan. Kalau mereka menyukat atau menimbang barang, selalu dicari akal agar sukatan atau timbangan itu merugikan pihak lain, menguntungkan pihaknya sendiri. Sebaliknya bila orang lain yang menimbang barang, dengan segala akalnya yang busuk, mereka jadikan agar dapat menguntungkan pihaknya dan merugikan pihak lain pula. Dengan jalan demikianlah mereka mendapatkan harta kekayaan, iaitu dengan jalan yang tidak halal, serta cara yang tidak sewajarnya, kehidupannya selalu merugikan pihak lain, begitu pula perjuangan mereka memang ditujukan untuk itu semata-mata.

Kepada mereka itulah Nabi Syuaib diutus Allah, dengan membawa ajaran agama yang benar dari Allah, dikuatkan pula dengan wahyu dan mujizat. Syuaib membawa mereka kepada menyembah Allah, menjauhi segala tipu muslihat yang busuk itu, memberi menakutkan mereka dengan ancaman ancaman Tuhan dan neraka. Namun mereka tetap tidak mahu dengar dan percaya. Malah membantah dengan alasan alasan yang mereka buat buat dan menganggap bahawa kehidupan mereka dengan cara yang mereka lakukan itu adalah satu cara penghidupan yang sebaik baiknya, dengan cara mana mereka beroleh kekayaan dan kebahagiaan, kata mereka.

Tuhan yang mereka sembah itu tidak usah dirobah robah lagi, kerana begitulah yang mereka perolehi dari nenek moyang mereka sendiri. Kata mereka kepada Syuaib: Apakah engkau larang kami menuruti ugama yang kami anuti? Di mana letaknya kemerdekaan berugama? Engkau mencegah kami dari mengambil rasuah? Sedang itulah kepandaian yang sudah kami pelajari dan pertahankan ! Apakah engkau menganggap dirimu lebih pintar dan faham dari kami? Dengan tidak jemu jemunya Syuaib memujuk mereka dengan secara bijaksana dan halus, dengan harapan mudah mudahan mereka akhirnya mengubah sikap, membenarkan kebenaran yang nyata itu. Tetapi mereka tetap tidak menurut, malah mereka anggap bahawa mereka sendirilah yang benar, sedang Nabi Syuaib dianggapnya menimbulkan kekeruhan dan mengacau saja. Akhirnya Nabi Syuaib diberinya kata dua, agar ia jangan lagi mengulangi kata kata dan anjuran kepada mereka, kerana mereka sudah merasa bosan mendengar segala kata katanya. Dihinakannya Nabi Syuaib dengan kata kata yang hina dan rendah. Nabi Syuaib adalah seorang yang lemah lagi hina, kata mereka. Keluarganya semua melarat dan miskin, yang tak mempunyai gaya dan kewibawaan sedikit juga, kata mereka.