Monday, July 11, 2011

Ramadhan Ingatkan Rezeki Halal

SETIAP manusia ketika dilahirkan dari rahim ibunya mempunyai jiwa yang putih bersih dan tidak ada dosa sama ada anak itu daripada keluarga orang kaya, miskin atau penjenayah. Rasulullah bersabda, maksudnya :

“Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih. Kedua- dua ibubapalah yang menentukannya menjadi Yahudi, Kristian dan Majusi” (Riwayat: Bukhari).

Berdasarkan hadis di atas ibu bapa menjadi isu utama dalam mencorak dan menentukan sama ada anak itu berpotensi menjadi baik atau sebaliknya. Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat sebahagian ibu bapa yang bersungguh-sungguh membimbing anak dan keluarga mereka ke arah menjadi manusia yang berguna tetapi tidak mencapai matlamatnya. Al-Quran dan Hadis menjadi rujukan dan panduan yang baik bagi menganalisis mengapa terdapat manusia bertindak liar, kejam dan jahat. Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah bersabda:

"Sesungguhnya Allah Taala itu baik, Dia tiada akan menerima melainkan yang baik saja. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para Rasul".

Allah berfirman maksudnya:

"Wahai para Rasul, makanlah dari yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh".

Dan Allah berfirman lagi:

"Wahai orang yang beriman, makanlah dari makanan yang Kami berikan kepada kamu".

Kemudian baginda menyebutkan pula

"seorang lelaki yang telah belayar jauh yang kelihatan rambutnya kusut, berdebu (tidak tenteram) dan pada masa yang sama berdoa kepada Allah sedangkan makanan, minuman dan pakaiannya adalah dari sumber yang haram, maka jauh sekali doanya akan dimakbulkan" (Riwayat: Muslim).

Berdasarkan dalil di atas jelas bahawa pemakanan halal dan baik akan bertindak sebagai motivasi kepada manusia untuk melakukan perbuatan yang selari dengan perintah Allah. Oleh sebab itu Allah memerintahkan Rasul, Nabi dan umat masing-masing membiasakan diri dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan pemakanan yang halal dan baik.

Makanan dan minuman yang halal dan baik itu menjadi punca kebersihan akal, jiwa dan batang tubuh manusia. Mereka yang membesar dan berkembang dengan sumber makanan halal dan baik akan mendorong mereka lebih berhati-hati jangan sampai terlanjur melakukan perbuatan budaya berdosa. Jika terlanjur pun dia akan segera menyesali dan bertaubat nasuha. Begitulah hebat dan mujarabnya kesan makanan halal kepada akal, jiwa dan fizikal manusia.

Dengan demikian mereka yang membiasakan diri dengan rezeki halal kuat beribadah dan menjalankan perintah Allah dengan tekun. Mereka lebih yakin dengan kehidupan kerana memperoleh ketenangan dan kedamaian selari dengan keistimewaan makanan halal yang dijamin Allah. Manakala sumber makanan haram atau bercampur aduk antara halal dan haram sudah pasti merosakkan akal dan jiwa. Mereka senang digegarkan oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan. Mereka lupa bahawa sesuap rezeki yang haram memasuki tubuh manusia akan menjadi darah daging di dalam tubuhnya dan akan kekal di situ buat selama-lamanya. Semakin dilalaikan semakin banyaklah yang haram meneroka ke dalam tubuh badan dan menjalar merosakkan fungsi akal dan jiwa.

Oleh sebab itu dia tidak boleh lagi membezakan perkara baik dan buruk, malah cenderung melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah. Dengan lain-lain perkataan akal dan jiwa itu telah digilap oleh persatuan dan susila yang salah. Malah perbuatannya mirip kepada habitat binatang dan syaitan seperti bersifat ganas, samseng dan tidak bersifat kemanusiaan. Oleh sebab itu Allah tidak menerima doa daripada mereka yang bersifat demikian.

Apa yang nyata mereka yang mempunyai akal dan jiwa tercemar sentiasa berada dalam keadaan cemas, gelisah dan hidup sentiasa tertekan kerana sumber motivasi hidupnya berada di laluan yang salah dan gagal memenuhi piawaian fitrah penciptaan manusia. Jika tekanan hidup ini berterusan, maka ia akan menjejaskan dan memberi kesan buruk kepada kesihatan seperti mengalami pelbagai penyakit kronik yang sukar diubati. Kajian perubatan telah mengesahkan bahawa tekanan hidup yang berterusan menjejaskan kesejahteraan manusia. Berdasarkan pemerhatian terdapat perkaitan yang kuat bahawa sumber rezeki mempengaruhi akhlak manusia. Oleh itu untuk kebaikan zuriat, keluarga dan survival akhlak keturunan, maka ibu bapa dan umat Islam seluruhnya hendaklah memastikan sumber rezeki harian itu adalah halal.

Ternyata bahawa makanan menjadi salah satu isu utama dalam mempengaruhi pembentukan akhlak manusia. Bagi merawat isu ini, maka Islam telah menetapkan agenda khusus dalam bulan Ramadan untuk membaik pulih tabiat makan manusia. Langkah yang diambil oleh ajaran Islam dalam merawat isu pemakanan ini amat tepat kerana setiap keluarga menyediakan peruntukan kewangan yang besar dalam penyediaan makanan.

Ibadah Puasa - Agen Semulajadi Cegah Penyakit

DIRI kita ialah apa yang kita makan. Sehubungan itu Allah SWT menyeru manusia supaya memakan makanan yang halal lagi baik (Al-Baqarah:168), berhati-hati makan dan minum serta jangan membazir (Al-A'raf:31). Kemudian Rasulullah SAW bersabda dalam beberapa hadis : “Berpuasalah nescaya kamu sihat”. Pepatah ada menyatakan ‘perut itu adalah sumber penyakit dan berpantang itu adalah penawar'.

Menurut sumber kajian perubatan, didapati 90 peratus penyakit manusia berpunca daripada pencemaran sistem usus (usus besar dan kecil). Penemuan ini membuktikan kebenaran al-Quran dan hadis Rasulullah bahawa gaya pemakanan memberi kesan besar kepada kesihatan manusia. Sistem usus memainkan peranan penting dalam menerima, menjana dan menghadam makanan yang dimakan. Tabiat makan yang buruk dan tidak seimbang, menimbulkan kesesakan dalam sistem usus dan sistem badan yang lain.

Proses kerja sistem usus ini samalah dengan sistem perparitan atau sistem pembentungan najis yang terdapat di negara kita. Segala lebihan makanan, makanan yang bertoksik, tercemar dan kotor tersumbat di situ. Sistem usus ini dari masa ke masa akan membentuk kerak najis, lapisan toksik dan kotoran lain serta melekat di dinding usus. Toksik dan bahan tercemar dalam sistem usus yang gagal dikeluarkan dan dibersihkan akan memasuki dalam sel-sel tubuh, saluran darah dan merebak ke jantung, hati, buah pinggang, paru-paru dan sistem tubuh yang lain.

Sistem usus tidak berfungsi dengan baik dapat dilihat berdasarkan warna najis. Najis yang sihat berwarna kuning seperti najis bayi. Jika najis berwarna hitam atau berwarna coklat maka menandakan sistem usus menghadapi masalah kesihatan. Kelemahan sistem usus ini boleh menimbulkan pelbagai penyakit seperti buasir, sembelit, gout, kolesterol tinggi, lemah jantung, kegemukan, penyakit berkaitan hati, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, kanser dan sebagainya.

Kempen-kempen yang dibuat oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan telah menyedarkan sebahagian masyarakat supaya meningkatkan kecergasan dan kesihatan diri. Antara kempen yang sering dijalankan ialah pilih makanan halal, kurangkan pengambilan garam dan gula, elak makanan berlemak, kurangkan makan daging merah, berhenti merokok, banyakkan makanan yang berserat (sayur dan buah-buahan), kawal berat badan, bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan sebagainya. Semua kempen tersebut berkisar boleh dihasilkan melalui amalan berpuasa yang telah lama disyariatkan Islam.

Pengaruh

Memandangkan besar pengaruh puasa dalam menentukan kesejahteraan manusia, beberapa agama seperti Kristian, Buddha, Hindu, Yahudi dan agama kecil lain menggalakkan penganutnya berpuasa sama ada secara sukarela atau berpantang memakan makanan tertentu. Dalam rawatan penyakit kronik, pihak hospital dan pusat-pusat perubatan menghendaki pesakitnya berpuasa dalam tempoh tertentu sebelum melakukan rawatan penyakit. Berdasarkan kebenaran al-Quran, hadis, penemuan kajian perubatan dan diakui oleh agama lain, maka nyata ibadah puasa menjadi alat semula jadi mencegah dan menyembuh penyakit.

Puasa Ramadan bertindak sebagai pembersih sistem usus dan sistem lain dalam tubuh manusia. Proses pembersihan yang memakan masa kira-kira 14 jam sehari itu, dianggap tepat untuk memberi peluang kepada seluruh sistem tubuh manusia kembali ke tahap sebenar melalui:

Ø Seluruh sistem badan, otot-otot, urat saraf, jantung, buah pinggang, hati dan sistem badan yang lain berehat untuk memulih dan mengembalikan kesegaran kepada tahap sebenar. Pada masa ini sistem badan menggunakan tenaga, lemak dan gula dalam simpanan.

Ø Kira-kira 70 peratus badan manusia dipenuhi air. Dalam tempoh berpuasa, air di badan kita automatik surut-kering dan memberi peluang kepada kita menggantikan semula dengan air yang kaya dengan mineral.

Ø Selaput najis, toksik dan kekotoran yang melekat dalam sistem usus dan sel-sel badan, akan menggelongsor runtuh.

Ø Asid yang wujud dalam tubuh dialkalikan (distabilkan).

Ø Peredaran darah berjalan lancar.

Berdasarkan kesan besar puasa kepada kesihatan manusia, maka nyatalah puasa merupakan agen semula jadi pencegah penyakit. Bagaimanapun bagi mereka yang sedang menghadapi penyakit kronik, mereka perlu mendapat nasihat pegawai perubatan sebelum memulakan ibadah puasa.

Mematuhi

Menurut Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, bagi mencapai keberkesanan puasa, kita perlu mematuhi adab makan, iaitu segera berbuka puasa kerana sistem badan memerlukan makanan pada waktu yang ditetapkan berbuka itu, mulakan membaca 'bismillah' dan berdoa, makan makanan yang halal, memulakan makan dengan buah-buahan dan berhenti makan sebelum kenyang, minum air tidak terlalu banyak ketika makan, jangan minum air dalam gelas sekali gus, minumlah seteguk demi seteguk, jangan bernafas atau bersendawa ketika minum kerana dikhuatiri bakteria masuk dalam minuman dan jangan minum ketika berdiri.

Puasa memberi nikmat besar kepada badan dan rohani manusia. Bagi menjamin kesinambungan nikmat besar itu, maka kita boleh susuli pula dengan puasa-puasa sunat mengikut kemampuan.

Puasa Tingkatkan Intergriti Diri

Sempena ketibaan bulan Ramadan yang berkat, seluruh umat Islam di pelosok dunia menunaikan ibadah puasa yang wajib secara serentak. Ini bermakna pada siang hari hampir keseluruhan umat Islam di dunia menahan lapar, menjaga adab-adab puasa dan pada waktu malam pula melakukan pelbagai ibadah sunat bagi penambahbaikan kualiti puasa wajib itu.

Berdasarkan sambutan menyeluruh umat Islam itu, maka adalah jelas bahawa program puasa adalah perancangan tahunan luar biasa yang ditetapkan Allah SWT bagi mentransformasikan akhlak manusia. Inilah keberkatan dan keistimewaan bulan Ramadan. Allah SWT menetapkan piawaian kualiti puasa bahawa natijah dan objektif puasa ialah mewujudkan manusia yang bertakwa (al-Baqarah: 183).

Ketika mengulas lanjut natijah puasa ini, Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW memberi peringatan dalam sebuah hadith,

“Terdapat orang Islam berpuasa tetapi hasilnya hanyalah lapar dan dahaga, serta terdapat juga mereka mengadakan qiamullail tetapi apa yang diperoleh hanyalah semata-mata berjaga malam”. (riwayat Tabrani).

Persoalan besar timbul mengapa terdapat umat Islam yang berpuasa tetapi gagal mencapai natijah yang ditetapkan. Menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyatakan faktor nafsu memainkan peranan besar dalam membangunkan taraf kemanusiaan. Nafsu ini mempengaruhi tingkah laku dan akhlak manusia. Menurut Imam Ghazali, dalam diri manusia pada dasarnya terdapat tiga jenis nafsu :

Ø Pertama, nafsu ammarah: iaitu mempunyai kecenderungan melakukan kejahatan. Nafsu ini juga dikenali sebagai nafsu binatang.

Ø Kedua, Lawwamah: perjuangan jiwa yang wujud kecenderungan untuk membuat pertimbangan baik dan buruk.

Ø Ketiga, Mutmainnah: jiwa yang telah menemui rentak positif dan berusaha memperkukuhkan unsur positif sebagai budaya hidup kerana nyata memberi kebahagiaan kepada manusia.

Menurut Teori Hiraki Maslow, tingkah laku manusia dipengaruhi bagi memenuhi kehendak nafsu kendiri yang selalu bergerak-gerak. Nafsu ini sentiasa bergerak dari bawah bermula memenuhi keperluan fisiologi (keperluan asas kehidupan), ketenteraman hidup, mendapat kasih sayang, penghargaan diri dan kemuncaknya ialah penyempurnaan kendiri mutlak. Penyempurnaan kendiri yang tidak ada penghujung inilah yang menyebabkan manusia hilang kawalan, menjadi rakus, tamak haloba dan akhirnya menyumbangkan kepada kejatuhan integriti manusia kepada tahap kemanusiaan yang paling jijik. Kecelaruan nafsu yang membawa kerakusan kendiri menghasilkan natijah manusia yang tidak beradab. Manusia yang tidak beradab inilah menjadi punca penularan gejala sosial seperti makan rasuah, menyalahguna kuasa, penagihan dadah, Aids, berzina, mengaku sebagai Tuhan atau Rasul Allah, orang jahil mengeluarkan fatwa, orang jahil mentafsir al-Quran, hadis sesuka hati dan pelbagai perbuatan negatif lain. Pada dasarnya manusia yang tidak beradab ini adalah manusia palsu kerana telah hilang akidah, hilang sifat kemanusiaan, tidak bertamadun, dan menggugat kesucian Islam. Kita amat bimbang kecemerlangan dan kegemilangan negara tergugat jika orang seperti ini dipilih menjadi pemimpin, mengetuai organisasi, diberi jawatan, diberi amanah, dinaikkan pangkat dan sebagainya.

Dengan demikian langkah kerajaan untuk memperhebatkan kempen integriti adalah amat wajar. Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, integriti bermaksud kejujuran, keadaan sempurna dan utuh. Terdapat perkaitan yang kuat antara integriti dengan takwa. Berdasarkan takrif integriti, ternyata integriti adalah sebahagian daripada ciri-ciri takwa kerana ia termasuk dalam sifat-sifat terpuji dalam Islam. Untuk mencapai natijah manusia yang bertakwa dan berintegriti bukanlah perkara mudah. Ia tidak boleh dihasilkan melalui teori, berkursus, berseminar, bengkel atau persidangan semata-mata. Ia memerlukan tekad dan kesungguhan manusia itu sendiri iaitu melakukan jihad melawan nafsu yang menjadi musuh utama manusia. Jihad mempunyai pengertian yang luas. Jihad secara bahasa bermakna mengerahkan tenaga yang maksimum untuk menghapuskan musuh.

Menurut Said al-Buti, jihad ialah usaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan akidah, membina masyarakat Islam dan mempertahankan Islam. Bulan Ramadan adalah bulan jihad. Allah memberi masa selama sebulan untuk kita berpuasa dan berjihad yang dikira cukup menewaskan nafsu (ammarah, lawwamah) dan memantapkan nafsu mutmainnah. Berdasarkan pengajaran al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w, jihad memantapkan nafsu mutmainnah memerlukan pelaksanaan disiplin puasa yang ketat seperti berikut:

Ø Berniat secara ikhlas,

Ø Memelihara adab-adab dan perkara yang membatalkan puasa,

Ø Menghidupkan ibadah pada waktu malam (qiamullail),

Ø Banyak membaca al-Quran dan memahaminya,

Ø Banyak bersedekah,

Ø Banyak bermujahadah seperti beriktikaf, berzikir dan bertaubat,

Ø Makan makanan dan rezeki halal; dan

Ø Kurangkan makan dan tidak membazir.

Berdasarkan besar peranan jihad melawan nafsu ini, maka terdapat ulama mengatakan bahwa jihad nafsu adalah jihad utama yang menjadi penggerak membangunkan tamadun ummah dan keamanan dunia. Dengan demikian jika kita gagal mengambil kesempatan untuk membuat perubahan dan transformasi akhlak dalam bulan yang mulia ini, maka puasa yang diamalkan silih berganti pada setiap tahun tidak memberi apa-apa kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Manusia adalah sebaik-baik makhluk kejadian Allah dan pada prinsipnya bersifat bersedia untuk menerima perubahan. Sempurna kedatangan bulan Ramadan yang berkat ini, maka marilah kita mengerahkan anak-anak dan keluarga kita mengambil peluang untuk berjihad melawan nafsu bagi menentukan kita menjadi manusia yang bertakwa, berintegriti, beradab dan kekal dengan sifat-sifat kemanusiaan.

Saturday, July 9, 2011

Ulasan Filem Aku Masih Dara

Sinopsis Filem

Sebuah filem yang menyentuh isu kerosakkan akhlak di kalangan remaja dan mengupas ragam kehidupan gadis-gadis zaman sekarang yang bebas dewasa tanpa bimbingan ibubapa yang terlalu sibuk mencari wang bagi menyara kehidupan. Aleesya, Sofea dan Hani merupakan tiga rakan rapat yang mempunyai latarbelakang keluarga yang berbeza. Masing-masing juga mempunyai pandangan berbeza tentang Islam, berdasarkan cara mereka dibesarkan oleh ibubapa masing-masing. Kehidupan serba moden menyebabkan mereka leka dengan tuntutan agama lantas terjerumus dengan gaya hidup barat. Pergaulan bebas serta menghalalkan yang haram bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan mereka.

Aleesya mempunyai didikan agama yang asas, boleh mengaji dan tahu sembahyang. Namun, membesar dalam persekitaran yang serba moden dan sosial menyebabkan beliau leka pada tuntutan agama. Sofea pula dibesarkan tanpa didikan agama, Sofea dibesarkan dalam suasana serba kebaratan, Sofea tidak tahu solat dan tak tahu mengaji. Hidupnya penuh dosa dan noda sehingga dia kurang tenang walaupun mempunyai segala-galanya. Hani pula membesar dalam keluarga yang susah. Beliau kurang didikan agama lantaran ibu bapa yang terlalu sibuk mencari sesuap nasi untuk mereka sekeluarga. Hani senantiasa menyalahkan ibu bapanya dan adakala salahkan Tuhan kerana tidak mengubah nasib beliau sekeluarga. Untuk hidup senang, beliau mengambil jalan mudah, menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan dan menjerumus dalam hidup penuh noda, dunia yang mana semuanya ‘halal’.

Hani mendapat bekalan dadah daripada teman lelakinya, Zachery, yang merupakan ketua pengedar dadah di kawasan flat tempat tinggalnya. Perbezaan pandangan mereka tidak menghalang persahabatan mereka bertiga sehingga kemunculan Firdaus, sepupu Aleesya yang warak. Firdaus pentingkan hukum Tuhan dan beliau sedar, sebagai seorang Islam yang berpendidikan, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik saudara Islam yang terlencong. Firdaus yang berasal dari kampung, datang ke Kuala Lumpur untuk mengikuti kursus keusahawanan, dan menumpang di rumah bapa saudaranya yang juga bapa kepada Aleesya. Menyedari Aleesya hilang arah, Firdaus sering menegur tindak tanduk Aleesya, menyebabkan Aleesya amat membenci Firdaus kerana terlalu ‘menjaga tepi kainnya’.

Namun, kehadiran Firdaus mulai mengubah diri Sofea yang mencari ketenangan. Sofea yang sudah puas hidup tanpa agama, menemui ketenangan apabila berkawan dengan Firdaus. Menerusi Firdaus, Sofea belajar tentang Islam dan mulai menyintai agama yang selama ini, sekadar status di kad pengenalannya. Kemesraan antara Firdaus dan Sofea, menyebabkan Sofea mula renggang dari Aleesya dan Hani. Sofea yang mahu Aleesya berubah mulai dimusuhi Aleesya yang menyangka Sofea berlakon untuk meniduri Firdaus. Apabila Sofea mengikut Firdaus ke kampung, bagi mendalami Islam tanpa gangguan, Aleesya semakin liar dan mula hilang pertimbangan sehingga sanggup mengikut Hani ke dalam dunia ‘pil khayal dan parti seks bebas’. Semasa mengikuti sebuah parti seks yang dianjurkan oleh Zachery, Aleesya ‘hilang dara’, menyebabkan beliau tersedar dari kebodohannya.

Hani yang sudah lama ‘hilang dara’ cuba menenangkan Aleesya dan memberitahunya, pada zaman sekarang, dara tidak penting. Menyedari beliau bukan dara lagi, Aleesya yang hilang maruah, mengambil keputusan untuk bertaubat dan mendekatkan diri dengan Allah. Beliau meminta bantuan Firdaus untuk mendidiknya juga menyelamatkan maruahnya dengan cara menikahinya. Aleesya ditemani Hani, pergi ke kampung Firdaus. Permintaan Aleesya menyebabkan Firdaus berada dalam dilemma, kerana Firdaus yang sudah tertarik pada Sofea, berjanji mahu mengahwini Sofea. Sofea pula memberitahu Firdaus bahawa walaupun dia hidup tanpa agama, dia masih dara kerana dia berpegang pada pegangan bahawa, ‘mahkotanya’ hanya untuk seorang lelaki yang boleh mendidiknya menjadi isteri yang baik.

Zachery pula memburu Hani kerana telah mencuri dadah miliknya. Kini Zachery memburu Hani dan rakan-rakannya.


Watak Dan Perwatakan

Raja Farah sebagai Sofea merupakan anak kacukan yang tidak dididik dengan ajaran Islam kerana ibu bapanya mengamalkan cara hidup Barat. Walaupun hidup dalam serba kemewahan dan tidak hidup dengan cara hidup Islam seperti pergaulan bebas, namun beliau tetap mempertahankan ‘mahkotanya’ hanya untuk suaminya kelak.

Yana sebagai Aleesya yang hidup dalam kemewahan dan mempunyai didikan agama asas di mana dia tahu dan pandai solat serta mengaji. Namun beliau tetap mengamalkan cara hidup yang melanggar batas-batas agama Islam.

Diana Amir sebagai Hani pula dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan namun diberi didikan agama oleh kedua ibu bapanya. Beliau seorang yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada dan sering menyalahkan kedua ibu bapanya dan takdir kerana keadaan hidup yang susah. Akhirnya beliau mengambil jalan mudah dengan mengedar dadah yang diambil dari teman lelakinya. Beliau juga mengamalkan hidup sosial dan tidak bermoral.

Farid Kamil sebagai Zachery yang merupakan teman lelaki Hani seorang pengedar dadah. Beliau sering menganjurkan parti-parti liar untuk keseronokan dan mengambil kesempatan ke atas gadis-gadis.


Ulasan Filem

Aku Masih Dara adalah filem yang membongkar keruntuhan akhlak dan moral di kalangan remaja. Filem ini mengisahakan gelagat tiga gadis beragama Islam iaitu Aleesya, Sofea dan Hani yang menjadi kaki clubbing. Aktiviti dominan mereka adalah bergaul dan bersuka ria tanpa mengenal batasan, tanpa sempadan.
Filem ni digarap berdasarkan kisah benar remaja sosial untuk memaparkan kisah-kisah remaja Islam yang gaya hidup mereka jauh menyimpang dari landasan sebenar. Ia ditayangkan supaya masyarakat membuka mata pada realiti kehidupan masa kini. Sebagai umat Islam hendaklah melaksanakan cara hidup Islam sebenar supaya hidup akan mencapai ketenangan yang dicari.


Unsur Positif

Antara unsur-unsur positif yang terdapat dalam filem ini ialah walaupun hidup sudah jauh menyimpang dari landasan hidup Islam sebenar tetapi akhirnya kembali ke pangkal jalan juga. Cara dakwah yang berkesan iaitu menegur secara baik dan lemah lembut mampu mengubah seseorang. Islam mengajar kita bagaimana cara berdakwah iaitu menegur dengan cara yang baik dan bukannya menghukum.

Unsur Negatif

Cara hidup yang terlalu sosial dan pakaian yang seksi ada kalanya tidak sesuai untuk ditonton oleh semua golongan. Walaupun ia menggambarkan realiti kehidupan sebenar namun hendaklah dibataskan. Ibu bapa yang bertungkus lumus mencari duit sehingga mengabaikan didikan dalam keluarga. Sepetutnya mereka hendaklah membahagikan masa antara kerja dan keluarga. Mereka hendaklah menitikberatkan keluarga di samping mencari rezeki untuk menyara hidup supaya memperoleh kehidupan aman dan bahagia.


Pengajaran/ Cadangan

Dari filem ini, kita dapat ambil ikhtibar bahawa hidup bukanlah untuk bergembira semata-mata. Harus diingat bahawa kita hidup ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Sebagai umat Islam, kita haruslah sedar bahawa kita mestilah hidup dilandasan yang telah ditetapkan. Hendaklah kita menjaga diri kita dari terjebak dengan hasutan syaitan dan lalai dari menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Selain itu, perbanyakkan mendedahkan hal-hal yang berkaitan dengan agama dalam filem kerana secara tidak langsung ia akan menyedarkan umat tentang tanggungjawab sebagai umat Islam di samping berdakwah kepada masyarakat.

Wednesday, June 1, 2011

Jika Anak Itu

Jika anak itu hidup dalam kritikan, dia belajar menyalahkan orang lain.

Jika anak itu hidup dalam kekasaran, dia akan belajar melawan.

Jika anak itu hidup dalam ketakutan, dia belajar menjadi pengecut.

Jika anak itu hidup dalam iri hati, dia belajar berasa bersalah.

Jika anak itu hidup dalam kesabaran, dia belajar menjadi penyabar.

Jika anak itu hidup dalam galakan, dia belajar menjadi yakin.

Jika anak itu hidup dalam pujian, dia belajar menghargai.

Jika anak itu hidup dalam penerimaan, dia belajar menyayangi.

Jika anak itu hidup dalam persetujuan, dia belajar menyayangi dirinya.

Jika anak itu hidup dalam pengiktirafan,

dia belajar ada baiknya mempunyai matlamat.

Jika anak itu hidup dalam kejujuran, dia belajar erti kebenaran.

Jika anak itu hidup dalam keadilan, dia belajar berlaku adil.

Jika anak itu hidup dalam keselamatan,

dia belajar untuk yakin pada dirinya dan pada orang lain.

Jika anak itu hidup dalam kemesraan,

dia belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang paling sesuai untuk hidup.

Dalam suasana apakah anda dan anak anda hidup?

Dunia Sementara, Akhirat Kekal Abadi

tika malam suram....

tika cengkerik bersahutan....

dingin malam menikam kulit

sang abid memuji Tuhan Pencipta

kalimah Tuhan memenuhi ruang dada

aku.....masih jua begini

diselimuti gebar tebal

lena di buai mimpi manis....ngeri

itulah hakihat diri....

tiada upaya

tiada kudrat

untuk menyahut seruan Mu Ilahi

mengapa aku masih begini

sedangkan....dunia hanya mimpi ngeri

penuh tipu daya tak penghujung

sedangkan......janji Allah Maha Benar

syurga tak terbayang indahnya

neraka tak terkata panasnya

mengapa manusia masih buta......tuli?????

mengapa aku jua begitu?????

kataku.....ucapku......hanya mainan

disapu angin yang lalu

sedangkan itu satu kemurkaan

"MENGAPA TIDAK DIKOTA APA YANG KAMU PERKATAKAN"

ahhhhhhh.....ampunkanlah aku

ampunlah kami.......

ampunkanlah semua.....

kerana.....

sesungguhnya ALLah itu Maha Pengampun

kerana......

sesungguhnya mati itu pasti

akhirat pun pasti

mizan pun pasti

sirat pun pasti

neraka pun pasti

syurga sudah tentu pasti

DUNIA sementara AKHIRAT kekal abadi

wallahua'lam

Bayang-Bayang Nabi

Ya Rasulullah, apa yang harus dilakukan para pemimpin ?

"Membela yang lemah dan membantu yang miskin" jawab Nabi.

Ya Rasulullah, apa yang harus dilakukan ulama ?

Memberi contoh yang baik dan mendukung pemimpin

YAng membela orang - arang lemah" jawabnya

Ya Rasulullah ... apa yang harus dilakukan orang-orang lemah dan miskin ?

"Bersabarlah, dan tetplah bersabar

Jangan kau lihat pemimpinmu yang suka harta

Jangan kau ikuti ulamamu yang mendekati mereka

Jangan kau temani orang-orang yang menjilat mereka

Jangan kau lepaskan pandanganmu dari para pemimpin dan ulama yang hidupnya juhud dari harta"

Ya RAsulullah... Pemimpin seperti itu sudah tidak ada

Ulama seperti itu sudah menghilang entah kemana

Yang tersisa adalah pemimpin serakah

Yang tertinggal adalah ulama-ulama yang tama'

Banyak rakyat yang mengikuti keserakahan mereka

Ummat banyak yang meneladani ketamakan mereka !

Apa yang harus aku lakukan, Ya... RAsulullah !

Siapa yang harus aku angkat jadi pemimpin ?

Siapa yang harus aku ikuti fatwa-fatwanya ?

Siapa yang harus aku jadikan teman setia ?

"Wahai ummatku...

Tinggalkan mereka semua

Dunia tidak akan bertambah baik sebab mereka

Bertemanlah dengan anak dan istrimu saja

Karena Allah menganjurkan, "Wa 'asiruhunna bil ma'ruf"

Ikutilah fatwa hatimu

Karena hadits mengatakan, "Istafti qalbaka, wa in aftaukan nas waftauka waftauka"

Dan angkatlah dirimu menjadi pemimpin

Bukankah, "Kullulkum Ra'in, ea kullukum masulun 'an ra'iyyatihi ?"